Sunday, May 2, 2010

Jalur lebar SchoolNet dipertingkat


KUALA LUMPUR 29 April - Rangkaian jalur lebar, SchoolNet yang disediakan di 9,884 sekolah seluruh negara akan dipertingkatkan dengan teknologi tanpa wayar, WiFi dan WiMAX yang lebih pantas. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, langkah itu akan dilaksanakan kerana rangkaian jalur lebar ke sekolah sekarang yang menggunakan satelit gagal mencapai sasaran kelajuan satu megabit sesaat (Mbps).


''Pancaran menerusi satelit tidak begitu memuaskan dari segi kejelasan bahan yang diterima, kualiti saluran yang dipakai dan kelajuannya," kata beliau ketika menjawab soalan tambahan Senator Mohd. Khalid Ahmad pada sidang Dewan Negara hari ini.

Menurut Rais, rangkaian jalur lebar WiMAX dan WiFi yang akan diperkenalkan di sekolah menjelang hujung tahun ini adalah murah dan mempunyai kualiti perkhidmatan lebih baik. Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Idris Buang, beliau berkata, kadar penembusan jalur lebar di negara ini sekarang adalah 35.4 peratus. ''Ini bermakna sebanyak enam juta isi rumah telah menggunakan rangkaian jalur lebar dan kita meletakkan sasaran 50 peratus isi rumah akan menikmati kemudahan sama menjelang akhir tahun ini," ujarnya.

Menurut beliau, sasaran itu hanya boleh dicapai sekiranya pihak berkuasa tempatan (PBT) memberikan kerjasama dengan mempercepatkan proses kelulusan untuk syarikat swasta memasang infrastruktur jalur lebar. ''Kerajaan negeri dan PBT juga harus memastikan kadar sewaan tapak yang disediakan kepada syarikat terbabit tidak terlalu mahal," katanya.

Sumber  : "Utusan Malaysia, arkib 30/04/2010"

2 ulasan:

SK BUKIT ROK July 18, 2011 at 6:28 AM  
This comment has been removed by the author.
SK BUKIT ROK July 18, 2011 at 6:31 AM  

perkara ini perlu diberi perhatian oleh pihak yg berkenaan. bagaimana perkhidmatan schoolnet yang sedia ada ini dicaj rm599 sedangkan perkhidmatannya... nak update anti-virus pun tak lepas.
ini boleh jadi satu masalah.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

  ©Template by FS SKBR.